Sebuah rangkaian premis jualan ais krim baru-baru ini mengiklankan ais krim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak). Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini mengeluarkan kenyataan larangan jualan produk tersebut.
Melalui kenyataan tersebut, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah membuat semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa ais krim tersebut disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa.
Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran MAL06061564T yang digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.
Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, KKM mengarahkan semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk ini untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
KKM juga menegaskan supaya pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan.
Orang ramai juga adalah dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut:
http://moh.spab.gov.my