Platform media sosial TikTok telah membawa gelombang pelbagai trend dan gaya kreatif yang menghiburkan dan seringkali mengundang kontroversi.
Salah satu trend yang sedang hangat dan menarik perhatian warga net adalah aksi meniru karakter “non-player character” (NPC) semasa siaran langsung (live) di TikTok. Siapa sangka, aksi ini bukan sahaja menghiburkan penonton, malah mampu peroleh pendapatan sehingga RM10,000.
Namun, fenomena meniru karakter NPC ini bukan sahaja mendapat perhatian netizen, malah telah membawa kepada pendapatan lumayan buat TikTokers Malaysia yang turut terlibat.
Berdasarkan beberapa laporan, TikToker yang melakukan aksi NPC ini mampu mendapatkan wang dalam jumlah yang cukup besar melalui pelbagai “gift” yang diberikan oleh penonton semasa mereka melakukan live.
Walaupun aksi meniru karakter NPC ini mendapat pujian atas kreativiti dalam menjana pendapatan, terdapat juga pandangan kritis di kalangan netizen. Beberapa netizen menganggap aksi tersebut sebagai satu langkah yang kurang bermaruah, dengan pendapatan yang tinggi berbanding dengan jenis pekerjaan lain.
Ada juga yang mengaitkan fenomena ini dengan perubahan trend budaya di kalangan anak muda yang mungkin boleh mengganggu kecenderungan untuk terus belajar. Malah, secara tidak langsung ianya merendahkan maruah diri kita dan juga agama.
Budaya ikut-ikutan ini bukanlah satu kecenderungan yang luar biasa dan asing lagi bagi umat manusia. Boleh dikatakan hampir semua bangsa manusia, termasuklah dalam kalangan umat Islam tidak terlepas daripada kecenderungan seperti ini.
Perlu ditegaskan bahawa setiap individu Muslim wajib menjaga diri dan maruah dengan memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang mencemarkan nama baik dan menjatuhkan kehormatan diri sendiri.
Memelihara diri dan maruah amat penting demi menjaga kemuliaan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Umat yang bermaruah ialah umat yang memiliki jati diri dengan berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur asing yang merosakkan.
Firman Allah bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…” (Surah an-Nur, ayat 31)
Selain itu, tingkah laku yang kurang elok ini juga menjadi asbab merundumnya sahsiah generasi masa ini. Tingkah laku bermasalah seseorang individu sebagai tingkah laku yang mengganggu perjalanan kehidupan dirinya bahkan orang di sekelilingnya. Jika baik tingkah lakunya, maka yang baik akan dinilai dan jika buruk tingkahnya maka sebaliknya yang akan dinilai.
Rasulullah SAW juga menjelaskan kepentingan akhlak dalam diri setiap Muslim menerusi sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Jika setiap umat Islam dapat menjaga maruah diri, secara tidak langsung keadaan itu menggambarkan ketinggian martabat Islam yang jelas menggariskan elemen akhlak sebagai antara perkara utama dalam agama.
Jadilah insan yang menjaga maruah diri dan tingkah laku dengan sebaiknya. Bertindaklah seperti insan yang melambangkan keindahan menjadi umat Islam sejati.