1972

Zainal Rashid AhmadInfo10 months ago2K Views

Gambar hiasan

Kemiskinan menyebabkan kami selalu berpindah-randah dari kampung ke kampung.

Paling saya ingat — sebelum masuk sekolah; kami tinggal di setinggan berdekatan Stadium Darulaman. Ketika itu belum ada pembangunan besar di Alor Setar.

53 tahun lalu — kampung kilat ini masih bersempadan dengan tanah sawah yang luas.

Malah, sampai sekarang — ada sekilas memori indah yang melekat dalam ingatan saya.

Pada hari-hari yang sunyi, bayangan kenangan begini pasti melintas; ada kala ia mengimbau jauh — hingga bergenang airmata.

KENANGAN INDAH

Saya duduk sendirian di tepi rumah; tengahari terasa sunyi tatkala mengadap pemandangan sawah.

Ini kisah orang-ramai berkumpul dan memikul sebuah rumah untuk berpindah tapak.

Usia saya waktu itu — baru lima tahun (1972).

Dalam ingatan yang ada hanyalah bayangan; jemaah yang berhimpun selepas pulang solat Jumaat.

Mereka mula bergilir-gilir memasuki ruas pada tiap galang dan geta rumah.

Seorang tekong akan berteriak dan kemudian jemaah akan serentak memikul rumah diatas bahu dan memindahkannya.

Jaraknya tidaklah jauh; tapi pemandangan itu antara kenangan terindah yang pernah saya lihat.

Disebabkan terlalu kerap berpindah rumah dan usia pula masih kecil; menjadikan saya kurang bergaul.

Saya terpana saat melihat meriahnya orang berteriak mengangkat rumah.

Tanpa izin ibu; saya sanggup merentas bendang dan mendekati tempat rumah yang sudah diletakkan pada tapak baru.

Itu momen keajaiban; begitu hebat rasanya sebuah kenangan. Orang-ramai memikul dan memindahkan sebuah rumah papan.

LAZATNYA BUBUR KACANG

Ketika saya sampai ke tapak pindah rumah; kerja memikulnya sudah selesai.

Jemaah sedang dijamu bubur kacang. Saya hanya memandang kerana tak seorang pun saya kenal.

Seorang lelaki dewasa datang mendekati; lalu memberikan semangkuk bubur kacang. Saya makan dengan penuh lahap — kerana kebetulan — perut terasa sangat lapar.

Sekarang, kalau pulang ke Alor Setar dan melalui kawasan itu; tiap inci tanah sudah dipenuhi bangunan.

Tapi, ia tidak pernah mampu menghapuskan sebuah kenangan masa kecil.

1973

Kami pindah lagi; kali ini — ke kampung setinggan berdekatan Market Koboi, Jalan Teluk Wanjah.

Ini memori penting; mengapa saya sayangkan kakak saya — Fauziah. Dia selalu membawa saya ke pasar (Market Koboi).

Kakak akan memegang tangan saya ketika melintas jalan. Ibu berikan wang, biasanya buat membeli ikan masin dan minyak tanah.

Berapa minggu kemudian, saya sudah pandai ke pasar. Tapi, selalu dimarahi ibu kerana kerap membuang masa.

Mengapa balik lewat?

Tentulah ada pesonanya.

Antara Market Koboi dan rumah saya — terdapat sebuah padang lapang; tetapi tanahnya berselut dan sentiasa becak.

Seorang anak kecil pada usia 6 tahun; pastilah sangat terkesima melihat layang-layang.

Jadi, saya selalu singgah dan duduk berlama-lama di tepi padang; melihat orang menerbangkan layang-layang.

Itu punca saya lewat pulang ke rumah. Saya kagum memikirkan; bagaimana kertas petak boleh naik ke langit?

IBU MENANGIS

Tahun yang sama juga, pertama kali — saya melihat ibu menangis.

Itu tahun kematian seniman agung P. Ramlee.

Kami tak pernah ke pawagam; tapi ada sekali dua — ibu bawa saya menonton wayang pacak di tengah padang.

Cuma, tak pernah ada tayangan filem P. Ramlee. Ibu mengenali kehebatan

P. Ramlee pada momen yang lain. Pastinya — ketika saya belum lahir.

Wayang pacak yang saya tonton menayangkan filem Hindi — dan saya tak pernah faham isi ceritanya.

Apa yang saya nikmati; hanyalah momen bahagia berada di tengah keramaian manusia. Terasa sangat indah kerana suasana begini tidak membosankan.

Tanpa wayang pacak; kami sudah pasti berbaring di lantai papan atau sudah tidur di rumah dalam keadaan bergelap.

Gambar hiasan; kredit FB Kuala Kedah.

Pada tahun itu — setinggan di seberang Market Koboi, masih menggunakan pelita minyak tanah.

Saya belum kenal suis lampu elektrik. Kalau pelita terpadam; saya hanya terbaring melihat kegelapan.

Suasana kelam masih sebuah pemandangan.

Pelita harus dipadam cepat bagi menjimatkan biaya.

Maka, sebelum lena — budak seperti saya — hanya mampu menciptalah khayalan dan angan-angan dalam ruang kelam.

Rumah kami berlantaikan papan; luasnya hanyalah dua belahan. Sebuah ruang tamu kecil serta pelenggar sempit yang dijadikan dapur.

Kami tidur bertebaran atas lantai, tanpa tikar atau bantal. Alaslah apa saja — asal dapat mengelakkan pipi jadi kebas kerana lantainya yang keras.

Dalam gelap malam — lama kelamaan, dek kebosanan — pastilah datang lena.

Ini sekadar catatan pagi. Pada usia tua sekarang; setiap pagi saya berusaha mengenang segala macam memori; mengingati momen-momen indah yang sudah dilalui.

Maha Kaya Allah; Tuhan Yang Esa — yang menciptakan sebuah perjalanan bagi setiap hambaNya.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...